CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap
menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya
selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang
seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.
Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang
terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair
mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr,
malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat
Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas
mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya
bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia
mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik
berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang
demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak
kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan
satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah
telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000
orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut
mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan
perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan
semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang
sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih
Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi
Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah
putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati
ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah
merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu
telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam
memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih
baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran
yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah
kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah,
moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk
khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok
pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan
musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah.
Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api
peperangan yang sedang bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah
puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya
mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar
sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,
kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga.
Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar
bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu
pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran.
41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang.
Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan
pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki
syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun
berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka
bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak
pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua
mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita
buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya
disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar.
Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu
tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah
bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga
kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan
beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas
tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap
anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk
mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam
hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat
menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan
Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku
tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang
bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat
untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di
garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan
dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di
barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang
binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah
itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu
marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera
Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan
mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya
mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam
hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000
tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera
Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu
berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu
terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera
Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya
telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan
hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan
mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan
aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit
yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran
Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran
kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati
syahid."
0 komentar:
Posting Komentar